I downloaded this translation/e- book from one of the mailing lists i subscribe to which is the hadith 40 mailing list.
it's not easy to accept facts that do not correlate with what you have been taught and impregnated in you since the very beginning and is contrary to the status quo, but one cannot immedietly reject the theory. it must be weighed and considered from all aspects.
i've come to realise now that not everything you were brought up to believe is true and when you know of it, go back to the source!
so read on and judge for yourselves. better yet, refer to to those who are 'ahli' or expert in this field. it's kinda long but persevere and then tell me ur opinion.
PENGENALAN
Hazrat Allama Mohammad Habibur Rahman Kandhalwi (almarhum) dikenali sebagai salah seorang ulama yang unggul di India -Pakistan. Dalam satu masa yang sama, dia merupakan seorang hafiz dan qari, ulama yang terkemuka dalam bidang tafsir dan hadis, juga seorang penyusun dan pengarang kepada kajian akademik yang tinggi serta penterjemah dari Bahasa Arab ke Bahasa Urdu.
Kertas kerja ringkas ini adalah berhubung dengan sesuatu isu yang sangat sensitif dan penting. Ia adalah mengenai umur Ummul Mu’minin Saiditina ‘Aishah Siddiq (r.a), semasa berkahwin dan mula tinggal bersama Rasullullah s.a.w. Isu ini menjadi perbahasan berlarutan di antara ulamak dan penyelidik sejak dahulu. Tuan Allama telah mengemukakan idea baru dalam isu ini dan telah menyelesaikan masalah yang penting dan selalu dipertikaikan ini , dan telah berjaya menentukan ‘umur’ sebenar Saidatina ‘Aishah (r.a) berpandukan kepada Ilmu Rijal dan pernyataan para sahabat r.a., ahli hadis dan ahli tafsir, termasuklah pernyataan mutlak oleh Ummul Mu’minin r.a. sendiri.
Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada En. Nigar Erfaney, seorang wartawan dan juga penulis berpengalaman , yang telah mengalihbahasa kertas kerja yang rumit dari Bahasa Urdu ke dalam Bahasa Inggeris yang ringkas dan jelas, tanpa menghiraukan kesakitan dan kesulitannya yang berpanjangan.
Shafaat Ahmed
Al-Rahman Publishing Trust (Regd)
Nazimabad, Karachi (PC-74600)
Pakistan. (9 Dis 1997)
MUKADDIMAH
Semenjak daripada alam persekolahan, kita telah membaca dan mendengar bahawa Rasullulah s.a.w. mengahwini ‘Aishah, anak perempuan Abu Bakar r.a., pada ketika beliau r.a. baru berumur enam tahun dan mereka mula hidup bersama ketika Aishah berumur sembilan tahun. Riwayat ini terdapat dalam kitab-kitab hadis dan para ulama telah menjelaskan bahawa Tanah Arab adalah sebuah tempat yang cuacanya panas, oleh itu kanak-kanak perempuan di sana meningkat baligh pada usia sebegini.
Bila kami datang ke Karachi dan menetap di sana kami menemui orang-orang yang berpendidikan barat, yang secara terbuka mencabar bahawa hadis ini bertentangan dengan akal. Kami berasa penat untuk mempertahankan hadis ini. Kami telah melihat beberapa orang yang merasakan masyarakat Inggeris lebih baik berbanding Islam dengan hanya berpandukan hadis ini. Sesetengahnya mencemuh Islam, sementara setengah yang lainnya mentertawakan hadis tersebut. Melalui cara yang lebih sopan, sebahagian mereka mengatakan bahawa ‘sejarah adalah lebih tepat’ dan hadis ini direka oleh orang-orang Parsi. Ada juga sesetengah mereka yang lebih berani dengan mengatakan: " Minta maaf tuan. Bukhari telah ditipu , tugas tuan yang sebenar sekarang ialah membetulkan fakta ini”
Inilah sikap mereka yang berpendidikan barat dan pemikiran sebegini tersebar luas sehingga ada yang sanggup mengatakan, "Tuan, nafsu ada batasnya , adalah tidak munasabah melampiaskan nafsu dengan kanak-kanak berumur sembilan tahun”. Semoga Allah melindungi kita dari keceluparan ini.
Kita semua adalah orang Islam. Inilah yang kami dengar dan kami cuba mencari jalan untuk menyelesaikannya. Dalam usaha mencari jawapan kepada permasalahan ini, kami mempelajari sejarah, ilmu salasilah, jarh wa taadil , ilal hadis, biografi perawi dan ugama Syi'ah. Dari kajian ini, kami dapati bahawa penipuan terbesar dalam Sejarah Islam dilakukan oleh golongan Syiah. Mereka mengelabui pembohongan ini atas nama sejarah. Kami akan membentangkan bukti pembohongan ini di helaian-helaian yang akan datang , insyaAllah.
Kami menyelidiki usul hadis, biografi perawi, illat hadis dan hadis-hadis palsu dan kami dapati ulama hadis telah membina benteng yang amat kukuh untuk menyekat kebanjiran ini sehingga golongan ahli sunnah sendiri tidak suka untuk melihatnya. Ulama-ulama hadis telah menggariskan prinsip-prinsip dan asas yang cukup berharga untuk kita menilai dan mengasingkan setiap yang benar dan yang palsu.
Imam Bukhari telah membina benteng yang sangat besar untuk menyekat kebanjiran fahaman Syiah. Motif utama kritikan terhadap kitab Sahih Bukhari ialah untuk menyokong gerakan Syiah. Di sebalik kritikan-kritikan tersebut , kepercayaan kita terhadap Sahih Bukhari semakin bertambah. Sayangnya tidak ramai orang awam faham hakikat ini, disebabkan dua faktor berikut:
Pertamanya, pada waktu itu, ketika cerita-cerita palsu membanjiri dari segenap penjuru, Imam Bukhari telah berusaha sedaya-upaya untuk menghapuskan pembohongan dengan penuh minat dan gigih; dan usaha ikhlasnya itu tidak dapat ditandingi sesiapapun sehingga hari ini. Bagaimanapun, beliau adalah makhluk biasa dan sebagai seorang manusia, tidak dapat mengelak daripada melakukan silap dan salah. Dan dengan melakukan satu kesilapan itu tidaklah sampai dihukum gantung. Lagipun, kesilapan tidak boleh dianggap sebagai suatu jenayah kerana jenayah adalah suatu perbuatan yang disertai dengan niat dan dan dilakukan dengan sengaja. Dengan kesilapan kecil yang tidak disengajakan Imam Bukhari tidaklah boleh dituduh sebagai penjenayah!
Keduanya, Imam Bukhari telah meriwayatkan hadis melalui perantaraan para perawi dan sebagaimana kita maklum perawi-perawi ini bukan maksum. Ramai perawi yang dianggap ‘thiqah’ (terpercaya) oleh Imam Bukhari tetapi tidak dianggap ‘thiqah’ oleh orang lain. Ianya tidak boleh dianggap sebagai jenayah atau sesat.
Dalam keadaan ini, kami akan menilai semula riwayat ini dan di sini kami persembahkan kepada pembaca setelah meneliti semua fakta yang ada. Dalam kajian ini , kami tidak menyebelahi mana-mana individu atau kumpulan tertentu .
Di antara hasil kajian terpenting dalam tajuk ini setakat ini ialah buku bertajuk “Umur Aishah” yang ditulis oleh Hakim Niaz Ahmed. Namun begitu, karangan tersebut mengandungi terlalu banyak perbincangan yang bersifat teknikal, menyebabkan ia sukar difahami oleh pelajar seperti kita.
Kami tidak bercadang untuk menulis sebuah buku atas tajuk ini dan juga kami tidak mempunyai cukup masa untuk itu. Kami hanya ingin mencurahkan idea-idea yang diperolehi semasa kajian itu dalam bentuk nota ringkas.
...............................................................
Timbul satu persoalan sama ada mencapai baligh pada usia sebegini hanya berlaku kepada Ummul Mu’minin Saidatina ‘Aishah r.a seorang sahaja , ataupun ianya adalah suatu yang lazim di Semenanjung Arab. Semua negara yang iklimnya sama atau yang berhampiran dengan Arab, iaitu wilayah-wilayah yang terdapat di negara Afrika seperti Libya, Tunisia, Sudan, Moroko dan wilayah Asia yang terletak di zon khatulistiwa ataupun yang hampir dengan wilayah ini, sebagaimana wilayah Multan, Sukkur, Sibi dan Jacobabad, terkenal dengan cuaca panasnya. Berdasarkan kepada kriteria ini, kanak-kanak perempuan di situ sepatutnya telah baligh sewaktu berumur sepuluh atau sebelas tahun; dan di Pakistan hampir 200,000 atau 400,000 kes atau setidak-tidaknya 2,000 atau 4,000 kes sepatutnya telah berlaku. Di Semenanjung Arab pula pasti tidak terkira banyaknya kes seperti ini sepatutnya berlaku. Jikalau tidak ada catatan dalam sejarah tentang peristiwa seperti ini , anda boleh melihat sendiri tanah Arab yang ada pada hari ini kerana Tanah Arab masih berada di tempat yang sama. Mekah dan Madinah masih berada di lokasi yang sama dan dalam keadaan yang sama. Tempat-tempat ini tidak berganjak sedikit pun. Sehingga hari ini, iklim di Semenanjung Arab adalah sama sebagaimana seribu lima ratus tahun dahulu. Hingga ke hari ini cuaca panas di Mekah memang di ketahui umum. Saya ingin beritahu bahawa saya telah merasai musim panas di Mekah pada bulan Mac (waktu di mana ia tidak begitu panas di Asia dan Afrika).
Berbanding zaman dahulu, peralatan komunikasi kini mudah dan banyak. Beratus-ratus ribu orang Pakistan bekerja di Tanah Arab, dan ramai daripada ahli keluarga mereka tinggal bersama mereka di sana. Namun sehingga hari ini, tiada sesiapa pun yang telah mengejutkan kita dengan cerita kanak-kanak perempuan telah mencapai umur baligh bila sampai di sana. Juga, sampai hari ini tiada orang Pakistan yang berjumpa dengan kami dan mengatakan; “Tuan! Saya telah tinggal bersama-sam a isteri dan anak-anak saya di Arab Saudi, dan kesan daripada iklimnya, anak-anak saya sudah boleh berkahwin, walaupun usianya baru sembilan tahun. Tuan! Sekarang kami yakin dengan sepenuh hati bahawa Ummul Mu’minin telah mula hidup bersama suaminya ketika beliau berumur sembilan tahun.”
Apapun yang akan kami tulis di sini bukanlah bermakna kami menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim tetapi matlamat kami ialah untuk memberi jawapan kepada musuh-musuh Islam yang telah mencalitkan lumpur ke tubuh mulia Rasullulah s.a.w. Adalah jelas bahawa kesucian Rasulullah s.a.w. adalah sesuatu yang lebih utama daripada perawi-perawi ‘Bukhari’ dan ‘Muslim’. Tanpa mengakui kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w., tidak bermakna iman dan Islam seseorang. Dan kita tidak diwajibkan untuk menerima semua perawi-perawi ‘Bukhari’ dan ‘Muslim’ dan tidak menjejaskan iman sekiranya kita mempertikaikan ( dengan adil ) peribadi perawi-perawi tersebut .
Sebagai seorang Muslim, kita yakin bahawa peribadi Rasulullah s.a.w. adalah adalah sangat tinggi dan mulia bahkan lebih tinggi daripada yang kita gambarkan. Jika terdapat sebarang riwayat yang boleh menjatuhkan maruah atau martabat mana-mana Nabi pun, maka kita hendaklah mencampakkan sahaja riwayat tersebut.
Perkataan ini bukannya daripada kami. Ulama-ulama hadis telah menggunakan istilah ‘campakkan riwayat ini’ berulangkali dalam tulisan-tulisan mereka. Mereka melafazkannya setiap kali melihat kesilapan atau kecacatan walaupun yang amat kecil di dalam suatu riwayat .
Di sini Nabi s.a.w. telah digambarkan sebagai seorang yang sangat bernafsu kepada seks. Demi kemuliaan nabi s.a.w beratus ribu riwayat sebegini hendaklah dicampakkan termasuklah riwayat oleh Hisham bin Urwah ini. Kita korbankan kesemua riwayat ini untuk memelihara kemuliaan Nabi s.a.w.
Ulama hadis telah menjelaskan bahawa sebarang hadis yang berlawanan dengan akal yang sihat dan pengalaman adalah hadis ‘maudhu’ (rekaan). Malah, Ibn Jauzi telah mengatakan sehingga, sekiranya sesuatu riwayat didapati bercanggah dengan ‘hikmah’ (kebijaksanaan) , pasti ianya riwayat ‘maudhu’; dan perbincangan atau penilaian tentang perawi riwayat tersebut adalah sia-sia. Ulama hadis telah menggunapakai kaedah ini dalam banyak kes.
Kita juga faham penilaian ulama hadis samada benar atau dustanya seseorang perawi, adalah berdasarkan ‘zann’ ( sangkaan yang kuat) . Ini kerana, ada kemungkinan bahawa seorang yang kita anggap sebagai benar, mungkin hakikatnya dia adalah seorang pendusta dan mungkin seseorang yang dianggap pendusta adalah sebenarnya bukan pendusta. Tidak semestinya setiap pendusta akan sentiasa berbohong dan setiap orang yang benar akan sentiasa berkata benar.
Para muhaddis akan menghukumkan samada seseorang perawi itu benar, dapat dipercayai atau baik berdasarkan kepada penampilannya atau persaksian daripada orang lain. Ini merupakan ‘zann’( andaian mereka yang kuat ) , namun kemungkinan tetap ada bahwa dia bukan seorang yang benar dan mungkin dia hanya berpura-pura berkelakuan baik dan warak . Dan sesiapa yang didakwa sebagai pendusta, mungkin dia difitnah oleh musuhnya padahal sebenarnya beliau bukanlah seorang pendusta.
Berdasarkan kepada alasan inilah, kadang-kadang ‘penilaian’ di kalangan para ulama hadis terhadap seseorang perawi berbeza . Sebagai contoh, dalam kes Abdur Razak bin Hamam, sesetengah ulama hadis telah mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang ‘thiqah’ (boleh dipercayai). Yahya bin Main bagaimanapun mengatakan beliau adalah seorang Syiah. Imam Ahmad bin Hanbal pula mengatakan beliau ( Abdur Razak) tidak mempunyai apa-apa masalah. Yazid bin Zaree’a mengatakan bahawa beliau ialah seorang Syiah Rafidhah, dan beliau mengatakan, “Demi Allah dia adalah lebih dusta daripada Waqidi”
Bagi kita, kesemua ulama hadis ini amat terhormat dan sangat mulia. Mereka mengeluarkan pendapat berdasarkan kepada pengalaman dan pengamatan masing-masing. Adalah menjadi tanggungjawab kita pula untuk membuat keputusan dengan memilih hanya satu sahaja daripada pendapat yang berbagai itu.
Para ulama hadis ini tidak mempunyai alat atau perkakas yang memberi tahu yang mana benar dan yang mana salah. Jikalau ada, sudah tentu tidak akan wujud perbezaan pendapat di kalangan mereka. Dan, kita sendiri pun tidak memiliki peralatan itu, malahan tiada peralatan seperti itu yang telah tercipta sehingga ke hari ini; suatu alat yang mana dapat membezakan kebenaran dan penipuan yang dilakukan oleh seseorang yang telah mati!
Jelas daripada perbincangan ini, bila seorang Muhaddis mengatakan bahawa hadis ini adalah benar ataupun hadis itu adalah tidak benar, beliau hanyalah mengemukakan pendapatnya; dan tidak semestinya pendapatnya tepat. Walaupun seseorang ulama hadis memberi pendapat yang salah, kita tidak boleh mengatakannya sebagai pembohong kerana dia tidak berniat melakukan pendustaan tetapi memberi pendapatnya berdasarkan maklumat yang ada padanya.
Dalam hal ini, adalah mungkin bahawa seseorang menerima pendapat Imam Ahmad, sementara yang lainnya yang menolak riwayat oleh perawi ini (Abdur Razak bin Hamman) , bersetuju dengan pendapat muhaddis yang lain.
Perbincangan ini telah menjelaskan kaedah ‘apabila muhaddisin menerima sesuatu hadis adalah sahih, itu adalah pendapat dan pandangan ( zann) mereka’ . Jika ada seseorang berpendapat sesuatu hadis adalah tepat dan sempurna sebagaimana al-Quran yang mulia , dan seorang lagi berpendapat sebaliknya, kedua-keduanya , pada pendapat kami adalah salah . Apa yang dipanggil ‘ishque’ (cinta) ’ ialah suatu kekacauan fikiran. Perbezaannya hanyalah, seseorang cenderung untuk mempercayai semua perkara adalah benar , sedangkan yang seorang lagi memiliki kecenderungan untuk mendustakannya. Ada yang sentiasa menerima apa saja yang diutarakan oleh muhaddis dan ada yang sentiasa memusuhi mereka. Ada orang yang mendewa-dewakan orang terdahulu manakala sebahagian lagi tidak suka dikaitkan dengan orang dahulu.
Dalam kedua-dua keadaan ini, semuanya dikatakan ‘cinta’ (kecenderungan), dan menurut penyair Mirza Ghalib, Penyair Agung Urdu:
‘Apa yang orang panggil cinta itu ialah keadaan minda yang meracau’
Kita semua tahu tiada yang maksum kecuali nabi-nabi a.s. Orang yang beriman pun tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan atau terlupa. Tanggapan yang mengatakan Imam Bukhari dan Imam Muslim atau mana-mana perawi thiqah tidak melakukan kesilapan atau tidak mungkin terlupa adalah serangan keatas ‘kemaksuman’ nabi s.a.w. Konsep ‘maksum’ pada seseorang selain daripada nabi-nabi a.s. hanya terdapat dalam ajaran Syiah, bila mereka mengatakan Imam Dua Belas sebagai maksum. Ironinya, saudara-saudara kita ahli sunnah menyediakan beratus ribu individu maksum tanpa mereka sedari!
Dengan alasan inilah para ulama hadis menghukumkan beberapa hadis yang diriwayatkan oleh perawi thiqah sebagai mungkar .Di dalam kitab rijal kita boleh menemui contoh yang tidak terkira banyaknya. Ibnu al-Madini mengatakan tiga riwayat oleh Imam Malik adalah mungkar . Ahmad bin Hanbal telah mengatakan Sufyan bin Uyainah meriwayatkan lebih daripada 30 hadith mungkar. Ibn Hazm telah mengatakan riwayat tentang ‘mi’raj’ yang diriwayatkan Bukhari sebagai ‘mungkar’.
Ummul Mu’minin Aishah r.a. telah mengkritik beberapa riwayat yang diceritakan oleh para Sahabat r.a. dan berkata , “Saya tidak mengatakan bahawa mereka berdusta, tetapi seringkali telinga tersilap dengar”. Di dalam ‘Saheh Bukhari’ dan ‘Saheh Muslim’, terdapat beberapa riwayat sebegini . Ini menunjukkan bahawa kadang-kadang suatu riwayat mungkin salah walaupun diriwayatkan oleh perawi yang paling thiqah.
Keadaan ini berlaku kerana kadang-kadang seorang perawi itu tidak mendengar sesuatu percakapan dengan sepenuhnya. Kadang-kadang pula perawi itu tersalah dalam memahami maksud sebenar sesuatu ucapan. Adakalanya dia terlupa perkataan yang didengarinya. Ummul Mu’minin r.a. juga ada mengatakan seorang perawi mungkin silap mendengar sesuatu percakapan . Contohnya, perkataan sebenar yang diucapkan ialah “sembilan belas”, tetapi perawi itu hanya mendengar perkataan “sembilan”.
Sedangkan para sahabat r.a. yang mulia pun tidak terlepas daripada berbuat silap, meskipun dia Saidina Umar r.a., Abu Hurairah r.a., dan Ibn Umar r.a. atau tabiin Urwah bin Azzubair dan anak lelakinya Hisham. Dengan mengatakan ‘sahabatpun boleh melakukan kesilapan’ tiada sesiapa mengatakan bahawa Ummul Mu’minin Saidatina ‘Aishah r.a. sebagai seorang anti-hadis. Begitulah sekiranya bila kita mengatakan seorang perawi mungkin melakukan kesilapan kita tidak boleh dikatakan sebagai orang yang menolak hadis kerana ‘menolak hadis’ dan ‘mendedahkan kesilapan’ adalah dua perkara yang berbeza. Dalam erti kata lain, berdusta ialah suatu kesalahan tetapi melakukan kesilapan bukanlah suatu kesalahan.
Berhubung dengan riwayat tentang ‘umur Aishah semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.’, kami tidak mengatakan bahawa riwayat dari Hisham bin Urwah di dalam ‘Bukhari’ dan ‘Muslim’ itu sebagai hadis Maudhu (rekaan) dan juga kami tidak mengatakan bahawa perawi tersebut seorang pendusta. Sebaliknya, kami berpendapat Hisham telah melakukan kesilapan di dalam riwayat ini dengan menyebut ‘sembilan belas’ sebagai ‘sembilan’ dengan tidak disengajakan. Kami mempunyai banyak hujah untuk menyokong pendapat kami. Jikalau tidak mempunyai apa-apa hujah sekalipun, kami akan tetap mengatakan bahawa hadis ini mungkar kerana kami lebih mencintai Rasulullah s. a.w. dari perawi-perawi riwayat ini.
No comments:
Post a Comment